Brunei menjadi pasaran eksport pertama SUV PROTON

Subang Jaya, 12 September 2020 – SUV terlaris di Malaysia, Proton X70 2020 telah dilancarkan di Brunei pada hari Ahad 6 September lepas.

Pada tahun 2019, Negara Brunei menjadi pasaran eksport pertama untuk menerima Proton X70 dan kini, ia sekali lagi menjadi pasaran eksport pertama untuk model 2020 yang dibina di Tanjung Malim.

Bersamaan dengan model pendahulu, Proton X70 2020 mempunyai tiga variasi (Standard, Executive dan Premium X) untuk pasaran Brunei dan akan dijual dengan jaminan selama lima tahun tanpa had jarak tempuh.

Proton X70 kekal sebagai SUV pilihan utama di Malaysia

Semenjak pelancarannya pada bulan Februari 2020, Proton X70 2020 merupakan pilihan paling popular di kalangan pembeli SUV di Malaysia.

Pada akhir bulan Ogos 2020, sebanyak 12,732 unit telah dijual bersamaan dengan 25.9% pegangan pasaran SUV di seluruh Malaysia.

Model pendahulu Proton X70 termasuk dalam tiga tempat teratas bagi segmennya di Brunei, walaupun ia dijual selama setahun sahaja.

Negara Brunei tidak terlepas dari jangkitan wabak COVID-19 tetapi jumlah penjualan industri automotif pada akhir bulan Julai telah berjaya mencatatkan jualan sebanyak 7,609 unit, menunjukkan tren jualan yang setanding dengan jumlah jualan tahun lepas.

ROSLAN ABDULLAH, KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF PROTON EDAR

“PROTON teruja dengan model Proton X70 2020 buatan Malaysia telah dilancarkan di pasaran eksport pertama kerana jualan eksport memainkan peranan yang penting untuk meningkatkan jumlah jualan keseluruhan syarikat.

Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar

Kami yakin bahawa kombinasi ciri-ciri inovatif serta peralatan keselamatan yang menyeluruh pada X70 baharu ini akan berjaya menarik perhatian pembeli kereta bukan saja di Brunei, malah di mana-mana pasaran di seluruh dunia,” kata Roslan Abdullah.