Helwa Abim dan instusi keluarga, perlindungan kanak-kanak

HELWA (Hal Ehwal Wanita) ABIM memandang serius isu-isu berkaitan keluarga khususnya wanita dan kanak-kanak yang dilaporkan sepanjang tahun ini. Keharmonian mahupun kepincangan keluarga memberi impak kepada keadaan masyarakat dan negara.

Isu konflik perkahwinan termasuk perceraian, poligami, gangguan orang ketiga, keganasan rumah tangga serta isu perlindungan terhadap kanak-kanak ini melibatkan orang awam, artis, selebriti, pendakwah dan golongan professional tanpa mengira kerjaya, taraf pendidikan mahupun taraf kehidupan.

Hal ini juga menunjukkan wujud kepincangan dalam masyarakat sama ada ia bersifat individu, keluarga, masyarakat mahupun pemerintah.       

Secara asasnya suami dan bapa adalah ketua keluarga yang bertanggungjawab menyara dan melindungi keluarga melalui pemberian nafkah, menyediakan tempat tinggal yang selamat dan pendidikan.

Istilah ‘qawwam’ mengisyaratkan kelebihan bapa dan suami sebagai pembimbing dan ketua keluarga. Namun, tindakan suami yang menceraikan isteri semasa mengandung, menceraikan isteri selepas baru sahaja melahirkan anak, atau kerana telah berkahwin dengan wanita lain memperlihatkan pengabaian tanggungjawab suami dalam melindungi isteri dan keluarga.

Apa pun status seseorang individu bukan tiket untuk melakukan sewenang-wenangnya dalam urusan keluarga dan perkahwinan kerana setiap perkahwinan tertakluk kepada peruntukan Undang-undang Keluarga Islam yang perlu dipatuhi.

Isu keganasan rumah tangga dalam masyarakat juga perlu diambil serius. Dalam tempoh 44 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 sehingga 30 April 2020 sebanyak 526 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) (BERNAMA (20 Mei 2020)). Tiga punca utama berlakunya kes keganasan rumah tangga ialah salah faham dalam isu kekeluargaan (45%), penyalahgunaan dadah (20%) dan masalah kewangan (10%) (Statistik PDRM).

Kemuncak kepada kes keganasan rumah tangga ialah apabila ia membawa kepada kematian pasangan akibat dibunuh atau dicederakan.  Ia adalah sangat tragis serta memberi kesan dan trauma yang bukan sedikit kepada anak-anak atau ahli keluarga.  

Terkait dengan isu ini pastinya kanak-kanak yang merupakan salah satu anggota kepada sebuah keluarga. Seorang kanak-kanak perlu dilindungi dari sebarang bentuk penderaan, pengabaian, eksploitasi dan penganiayaan. Tanggungjawab melindungi kanak-kanak adalah terpakai kepada semua pihak.

Keghairahan sesetengah anggota masyarakat melapor dan menyelongkar kisah keluarga sehingga mendedahkan maklumat dan gambar peribadi kanak-kanak menyebabkan kita telah mengabaikan hak perlindungan dan privasi seorang kanak-kanak. Tiada kanak-kanak boleh diganggu dengan sewenang-wenangnya atau yang menyalahi undang-undang terhadap privasi diri dan keluarganya atau serangan yang menyalahi undang-undang terhadap nama baik dan reputasi dirinya. 

Selaras dengan Dasar Keluarga Negara (DKN), HELWA ABIM menegaskan agar semua pihak termasuk pihak media, pihak pemerintah, pihak berwajib, badan NGO, dan setiap anggota masyarakat mengambil serius dan memainkan peranan dalam lingkungan pengaruh masing-masing bagi memperkukuh institusi keluarga dan memperkasa perlindungan terhadap kanak-kanak.

HELWA ABIM bimbang sekiranya isu-isu ini diabaikan, ia akan memberi impak negatif kepada pembangunan negara dan turut memberi kesan kepada kelangsungan generasi muda.

Justeru, HELWA ABIM menggesa pihak-pihak berkaitan mengambil tanggungjawab yang sewajarnya bagi menangani isu ini.

1.         Memperkukuh Institusi Keluarga

Pengukuhan institusi keluarga memerlukan komitmen dan kesedaran dari setiap anggota keluarga. Ia harus dimulai dengan kesedaran dan kefahaman literasi hak dan tanggungjawab, seterusnya kesungguhan dalam melaksanakannya. Kursus Pra Perkahwinan, Program SmartStart dan pelbagai lagi adalah baik dan harus diperluaskan. Pemilihan penceramah yang berintegiriti adalah penting, di samping modul yang informatif, interaktif dan komprehensif. HELWA ABIM turut mencadangkan agar diadakan Kursus Pasca Perkahwinan yang bertujuan mengukuhkan ilmu kekeluargaan dan memahami fasa-fasa dalam perkahwinan serta membantu mengharungi cabaran tersebut.

2.         Mempertingkatkan Kemahiran Pengurusan Konflik Keluarga dan Tekanan Diri 

Konflik perkahwinan perlu diselesaikan dengan kaedah yang betul. Jabatan Agama Islam melalui Unit Runding Cara Keluarga (URK) umpamanya telah menyediakan khidmat nasihat dan kaunseling keluarga yang bertujuan membantu keluarga bermasalah menyelesaikan konflik yang dihadapi. HELWA ABIM mencadangkan agar Klinik Kekeluargaan diperluaskan sebagai satu usaha untuk mempertingkatkan kemahiran pengurusan konflik keluarga dan tekanan diri dengan kerjasama pihak NGO dan pihak-pihak lain yang berminat serta menampilkan petugas yang bertauliah, professional dan berintegriti. Ini sekaligus dapat meluaskan sistem sokongan dan akses kepada bantuan kekeluargaan.

3.         Memperluaskan Pendidikan Berkaitan Akses Terhadap Keadilan dan Bantuan Sokongan Terhadap Mangsa 

Program pendidikan atau literasi undang-undang berkaitan keluarga, keganasan terhadap wanita, keganasan rumah tangga, undang-undang kanak-kanak seharusnya dapat memberikan pencerahan kepada masyarakat sekaligus membantu mangsa mendapatkan akses kepada keadilan dan bantuan sokongan. Pusat-pusat perlindungan, talian-talian bantuan seperti Talian KASIH (KPWKM), Talian MyCareCov19 (JAKIM) dan lain-lain perlu diteruskan dan ditambahbaik dari semasa ke semasa.  HELWA ABIM juga mencadangkan agar pihak majikan menyediakan kursus berkala yang berkaitan pendidikan kekeluargaan dan pendidikan perlindungan kanak-kanak kepada staf di samping kursus-kursus pembangunan diri yang sedia ada. Majikan juga perlu bersedia menjadi sistem sokongan kepada staf yang menghadapi isu-isu kekeluargaan tanpa menjejaskan prestasi mereka di tempat kerja.

4.         Menekankan Etika Pelaporan Berita dalam Kalangan Pengamal Media

Media mempunyai impak yang besar kepada masyarakat dan signifikan sebagai medium pencerahan, pembangunan dan pendidikan masyarakat. Setiap pengamal media turut mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat. HELWA ABIM mencadangkan agar etika pelaporan berita khususnya berkaitan kanak-kanak diperkasakan serta mematuhi Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia (Edisi Kedua bertarikh 14 Februari 2020) seperti yang termaktub dalam Bahagian 10, Perkara 3.2,  iaitu dengan memastikan apa jua kandungan yang sama ada berita atau gambar yang disediakan atau dilaporkan mestilah tidak akan menyebabkan, menggalakkan atau mempromosikan kecederaan fizikal atau penderaan kanak-kanak atau mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya moral. Tindakan tegas juga perlu diambil kepada media atau pihak yang mencabuli hak kanak-kanak.

5.         Semakan Terhadap Program Realiti Bersifat Keagamaan dan Dakwah

HELWA ABIM mencadangkan semakan semula terhadap objektif program realiti yang bersifat keagamaan dan dakwah atau dihentikan sekiranya wujud kaedah lain dalam mencapai objektif. Pendakwah perlu melalui proses yang panjang dan kematangan, dan bukan bersifat glamour dan segera. Sesiapa sahaja yang menjadi ikon atau influencer hendaklah memahami bahawa mereka juga mempunyai tanggungjawab sosial dengan menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat.

HELWA ABIM menyedari keperluan kritikal terhadap program kesedaran dan advokasi keluarga dan kanak-kanak. Justeru HELWA ABIM menyatakan komitmen dalam usaha memperkukuh institusi keluarga dan memperkasa perlindungan kanak-kanak melalui program kesedaran dan keilmuan. HELWA ABIM telah memulakan usaha tersebut melalui program KAMAR dan menyediakan platform bantuan sokongan melalui Rahmah Support Team (RST). Usaha HELWA ABIM ini telah dilakukan hampir 49 tahun iaitu sejak dari awal penubuhan dan akan diteruskan untuk masa akan datang. HELWA ABIM juga terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha ini. Semoga institusi keluarga di Malaysia terus diperkukuhkan demi menjamin kelangsungan generasi dan negara yang sejahtera. 

FATIN NUR MAJDINA NORDIN

Naib Presiden

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Hal Ehwal Wanita (HELWA)