Tekanan Ekonomi dan Cadangan Akta Dana Politik: Isham Jalil
Minyak dinaikkan, subsidi elektrik ditarik, tol naik, harga barang semua naik. Bila rakyat tanya kenapa, mereka kata subsidi ini membebankan kerajaan. Tapi dalam masa sama, mereka beri projek berbilion kepada kroni — Isham Jalil

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, menegaskan bahawa tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat hari ini adalah akibat daripada kegagalan dasar kerajaan perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam satu siaran video yang tular baru-baru ini, Isham mengkritik langkah kerajaan memotong subsidi asas rakyat, termasuk minyak dan elektrik, sambil membiarkan "kerajaan membazir dan kroni menjarah kekayaan negara."
"Minyak dinaikkan, subsidi elektrik ditarik, tol naik, harga barang semua naik. Bila rakyat tanya kenapa, mereka kata subsidi ini membebankan kerajaan. Tapi dalam masa sama, mereka beri projek berbilion kepada kroni," katanya dalam video tersebut, yang telah mencapai ribuan tontonan di YouTube.
Isham turut menyentuh isu integriti dalam pentadbiran kerajaan hari ini, terutama mengenai amalan kronisme dan nepotisme. Beliau mempersoalkan bagaimana seorang tokoh seperti Nurul Izzah, anak kepada Perdana Menteri, boleh dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, tanpa proses yang telus. "Apa sudah jadi dengan reformasi yang mereka laung-laungkan selama ini? Reformasi sudah bertukar menjadi nepomassi," katanya sinis.
Dalam pada itu, Isham menyatakan bahawa ke kepada penggubalan satu undang-undang khusus untuk mengawal dana politik bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam parti-parti politik. "Kita perlukan satu Akta Dana Politik. Supaya rakyat tahu dari mana parti dapat dana, siapa beri, dan ke mana ia dibelanjakan. Kalau ini tidak dikawal, rasuah politik akan terus subur," ujar beliau.
Menurut beliau, ketiadaan akta sedemikian membolehkan parti politik tertentu mengumpul dana dari sumber-sumber yang tidak jelas untuk membiayai kempen dan mengekalkan kuasa. Isham mencadangkan agar akta tersebut mewajibkan pendedahan penderma dan had sumbangan serta audit bebas setiap tahun.
Isham juga mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan slogan-slogan lama yang digunakan semula oleh pentadbiran sekarang. "Jangan kita biarkan retorik lama yang sama mengaburi mata kita. Negara sedang menuju ke arah kehancuran ekonomi jika perkara ini tidak diperbetulkan," katanya.
Kenyataan Isham ini hadir pada waktu ketegangan politik dan ekonomi memuncak, dengan banyak pihak termasuk pertubuhan sivil mendesak kerajaan lebih telus dalam pengurusan kewangan dan pelantikan politik.
"Sudah sampai masanya kita fikir soal masa depan negara, bukan sekadar politik individu," tegas Isham dalam penutup hujahnya.
