PCG, PT AKR berganding bahu dalam mengedarkan bahan kimia di Indonesia
KUALA LUMPUR & JAKARTA, 1 Sept (Bernama) — PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) akan bekerjasama dengan PT AKR Corporindo Tbk (PT AKR) bagi mengedarkan bahan kimia di seluruh Indonesia. Syarikat usaha sama akan ditubuhkan oleh anak syarikat PCG dan PT AKR untuk tujuan ini.
PT AKR Corporindo Tbk adalah syarikat logistik dan rangkaian bekalan Indonesia yang terlibat dalam perdagangan dan pengedaran petroleum dan bahan kimia asas. Dengan rangkaiannya yang luas, PT AKR terlibat dengan aktiviti penyimpanan pukal cair dan pukal kering, kemudahan pengangkutan, dan operasi pelabuhan.
PETRONAS Chemicals Marketing Sdn Bhd (PC Marketing), anak syarikat PCG dan PT AKR Niaga Indonesia (PT ANI), anak syarikat PT AKR baru-baru ini telah menandatangani perjanjian bagi memeterai usaha sama itu. Menandatangani bagi pihak PC Marketing ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Shakeel Ahmad Khan, sementara PT ANI diwakili oleh para Pengarahnya, Cik Mery Sofi dan Cik Nery Polim.
Turut hadir bagi menyaksikan upacara yang telah berlangsung secara maya di Kuala Lumpur dan Jakarta secara serentak itu adalah Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif (MD / CEO) PCG, Datuk Sazali Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Presiden PT AKR, Encik Haryanto Adikoesoemo.
Kerjasama ini memanfaatkan kekuatan kedua-dua buah syarikat bagi membawa nilai yang lebih besar kepada Indonesia. Pada masa yang sama, PCG dan PT AKR akan bekerjasama untuk memberikan penyelesaian pelanggan yang inovatif bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan. Metanol akan menjadi produk pertama yang diedarkan kepada pelanggan di Indonesia.
Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Datuk Sazali Hamzah berkata, “Asia Tenggara adalah pasaran penting bagi kami. Mempunyai rakan tempatan yang mapan di Indonesia dengan infrastruktur logistik dan kehadiran pasaran yang kukuh akan membolehkan kami mengembangkan rangkaian serta melayani pelanggan dengan lebih berkesan.
Pengalaman PT AKR dalam memenuhi keperluan pasaran metanol turut memberikan perhubungan bersinergi kepada PCG. Selain mengedarkan metanol, kami juga berhasrat untuk memperluas rangkaian kimia bagi merangkumi produk kimia lain pada masa akan datang.”
Turut menjelaskan tentang usaha sama itu, Encik Haryanto Adikoesoemo berkata,
“Kerjasama kami dengan PCG menandakan langkah penting dalam strategi pengembangan kami serta memperkukuhkan kedudukan kami sebagai salah satu pengedar petroleum dan bahan kimia utama di Indonesia.
“PT AKR dengan pengalaman lebih daripada enam dekad dalam menyediakan penyelesaian logistik dan rangkaian bekalan, lengkap dengan infrastruktur seperti pelabuhan laut, pelabuhan sungai, terminal dan rangkaian pemasaran bersedia untuk menyokong usaha sama ini.
“Kami yakin, bersama-sama kami mempunyai kemampuan yang besar dalam memberikan penyelesaian inovatif bernilai tinggi kepada pelanggan di seluruh Indonesia.”
Duduk (Kiri – Kanan) – Shakeel Ahmad Khan, Ketua Pegawai Eksekutif PC Marketing, Nurfarizam Chik, Ketua Jualan Metanol, Aromatik & MTBE; Haryanto Adikoesoemo, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan, PT AKR; Soegiarto Adikoesoemo, Pengerusi dan President commissioner AKR Corporindo; Dato’ M Ibrahimnuddin Yunus, Pengerusi/Pengarah Syarikat PETRONAS di Indonesia dan Jimmy Tandyo, Ketua Pegawai Eksekutif /Unit Perniagaan AKR.
https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js (adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
Berdiri (Kiri – Kanan) – M Mazlan Abd Razak, Ketua Projek Khas (SPV) PCG; Datuk Sazali Hamzah, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, PCG; Akbar Md Thayoob, Ketua Perancangan Strategik dan Usaha Niaga, PCG; Mery Sofi, Pengarah PT ANI, M Nizam M Yusof, Pengarah Urusan, PT PCM Kimia Indonesia; Nery Polim, Pengarah PT ANI; Suresh Vembu, Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Perhubungan Usaha Sama AKR; Ter Murti, Pengarah Kewangan, AKR dan Ongkowijono, Pengarah, Bahan Kimia Komersial, PT AKR